Saturday, May 14, 2011

TEKS UCAPAN KETUA PENGAWAS SEMPENA HARI GURU

TEKS UCAPAN HARI GURU
Bismillah hirrahman nirrahim ,

Yang berbahagia, YDP PIBG SMK Tun Mutahir, En. Velaithan Achutta Nair
Yang dihormati Tn. Pengetua SMK Tun Mutahir,  Tn. Haji Zolkaply B. Yunus,
GPK 1, Pn. Hjh Kamariah Bt. Othman,
GPK Hal Ehwal Murid, En. Ghaffar B. Yahya,
GPK Kokurikulum, En. Radhi B. Masah,
GPK Pendidikan Khas, Ustza Sajat Bin Ahmad
Penyelia Petang, Pn.Manja Bt. Md. Doli
ketua- ketua bidang,
guru-guru
dan  rakan-rakan yang dihormati sekalian.
Assalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, Salam 1 Malaysia, Salam mercu di Hari Guru.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

 Bicara saya dimulakan dengan deklamasi petikan sajak yang saya dapati dari laman maya. Sajak tersebut kalau saya renung- renungkan sememangnya mengenai guru dan jasanya. Dalam konteks yang lebih mendalam, saya mendapati bahawa penyajak ingin mengutarakan bahawa guru merupakan tulang belakang utama sesebuah negara.


"Sesungguhnya tanggal 16 Mei amat penting dan sangat bermakna kerana kita semua mempunyai guru yang telah banyak berjasa kepada kita. Inilah waktu terbaik untuk kita luahkan setinggi-tinggi rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap mereka yang telah banyak berbudi kepada agama, bangsa dan juga negara.


Pepatah Melayu ada berkata, “Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”, menunjukkan pengorbanan seorang guru yang bersusah payah memberi didikan yang sempurna kepada kita semua. Tanpa guru, takkan ada insan-insan hari ini yang berpangkat menteri, berjawatan besar, bergelar jutawan, doktor, peguam, jutawan internet, angkasawan dan sebagainya.


           Tema hari guru pada tahun ini , Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara jika dilihat secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar kerana zaman dan keadaan telah berubah maka guru sebagai penjana transformasi (perubahan) pendidikan negara  perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Perlaksanaan KSSR, SPPK dan MBMMBI  perlulah mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar transformasi pendidikan yang diingin dapat dicapai. Begitu juga dengan penggunaan IT (teknologi maklumat) dan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) yang begitu izhar eksplisitnya di SMK Tun Mutahir. Warga guru di sekolah ini amat bertuah kerana mempunyai Tn. Pengetua yang begitu terkenal dengan ICT nya bagi memastikan agar matlamat untuk mentransformasikan pendidikan negara tercapai.

Guru jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu aspirasi negara ke arah Wawasan 2020. Di samping itu, guru juga menjadi wadah penyemai perpaduan. Guru- guru bertanggngjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa generasi muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Kendatipun begitu, guru yang diibaratkan lilin membakar dirinya untuk menerangi orang lain mendepani pelbagai onak dan cabaran terutamanya dalam melayani kerenah anak-nak muridnya. Meniti hari ke hari, cabaran guru makin sukar. Antaranya, ada saja dalam kalangan pelajar yang menimbulkan masalah disiplin. Ada pula yang sering tidak membuat kerja sekolah.  Bagai jatuh ditimpa tangga, kalau ada pelajar yang terlibat dalam kes buli atau prestasi mereka merudum pasti wujudnya segelintir ibu bapa yang akan menunding jari ke arah guru seolah-olah guru sahaja yang bertanggungjawab atas disiplin dan perkembangan anak-anak mereka. 


         Namun, di sebalik semua kekusutan tersebut, para guru juga  sering dihargai. Sebagai bukti, Hari Guru yang kita sambut pada hari yang mulia ini. Hari Guru ini disambut sebagai suatu simbolik penghargaan masyarakat 1 Malaysia kepada guru-guru.

        Sebelum saya menutup tirai, saya mewakili semua pelajar ingin memohon maaf atas segala kekhilafan kami.

           Dan seterusnya  SELAMAT HARI GURU kepada semua guru SMK Tun Mutahir. Segala pengorbanan cikgu akan kami semat dan hargai selagi hayat dikandung badan.


Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah assalamualikum wrbthkth



Ditaip oleh : Muhammad Zarifuddin B. Zainuddin
( Ketua Pengawas AM )
 dengan bimbingan Pn. Zawiyah Mohd
( Ketua Panitia BM )
SMK Tun Mutahir
2011

1 comment:

  1. What's your favourite? - Vntopbet dafabet dafabet 188bet 188bet bk8 bk8 fun88 soikeotot fun88 soikeotot 카지노사이트 카지노사이트 우리카지노 쿠폰 우리카지노 쿠폰 707 家,흀입머니 3 만만 흀입머 가입머 가입머 가입머 가입머 가입머 가입머 가입머 가입머 가입머 가입머 가입머 가입머 가입머 가입머 �

    ReplyDelete